Sunday, July 28, 2013

Bilakah politik perkauman akan berakhir?

Bilakah politik perkauman akan berakhir? Sebagai sebuah negara berbilang kaum selagi tidak ada perpaduan kaum yang sejati negara tidak akan kemana-mana.

Setiap orang terutamanya dibandar dan separa bandar, mempunyai jiran tetangga dari berbagai kaum. Hidup yang aman bermula didalam keluarga dan diantara jiran tetangga dalam kariah kita.

Kalau kita tidak setuju dengan jiran tetangga kita janganlah berbezaan pendapat dan pandangan itu berbeza di dasarkan kepada perbezaan warna kulit, bangsa dan agama. Perbezaan itu biarlah di dasarkan kepada isu yang tidak ada kena mengena dengan bangsa, agama dan warna kulit.

Ramai orang termasuk diri saya yang kerdil ini amat gembira apabila ada parti yang melahirkan hasrat untuk menjadi parti perjuangan yang berlandaskan kepada ‘multiracialism’, tanpa menggunakan isu kaum dalam semua halnya. Bagi orang seperti saya dan ramai yang lain amat terkeliur dengan perjuangan ini kerana sudah sangat lama kita menunggu masa dan saatnya bagi kita bersatu dan menjadi rakyat Malaysia dan bukannya sebagai bangsa Melayu, Cina dan India atau Kadazan dan Iban.

Oleh kerana sesitiviti dan suasana politik begitu menekan maka ramailah orang Melayu berpusu-pusu menerima perjuangan berbilang kaum ini kerana orang Melayu sendiri mahu melihat perpaduan diantara kaum itu wujud dan bersemi dikalangan rakyat negara kita. Semasa menghadapi pilihanraya baru-baru ini, setiap bangsa bersatu dalam gerakan menentang Barisan Nasional (BN) dan salah satu isu yang dimainkan terhadap BN itu ialah isu perkauman yang BN dituduh begitu menebal permainan politik perkaumannya.

Rupa-rupanya pihak yang memainkan isu perkauman terhadap BN itu juga adalah parti perkauman dan hanya mementingkan ahli-ahli dan pimpinan dari kaumnya sendiri sahaja. Apa yang dilaungkan mereka selama ini hanyalah permainan lidah yang tidak bertulang dan cara mereka bercakap tentang perkauman itu seolah-olah rakyat tidak akan dapat menghidu siapa sebenarnya mereka ini. Sesungguhnya mereka yang melaungkan slogan ‘multiracialism’ itu adalah kumpulan yang hakikatnya adalah parti perkauman yang sangat menebal.

Isu ini jelas dan tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak. Saya tidak mahu mencabar sesiapa tetapi saya dengan rendah hati bersetuju untuk berdepan dan berbincang isu ini secara terbuka. Tetapi saya lebih berminat kepada mereka yang mempunyai pendidikan yang asas dari berbilang kaum untuk membuktikan permainan isu perkauman ini adalah semata-mata modal untuk kempen pilihanraya yang lalu sahaja.

Tetapi segala-gala yang mereka sebutkan semuanya palsu semata-mata dan amat sukar bagi kumpulan yang saya maksudkan ini untuk tampil kemuka dan mengaku sebagai parti dengan perjuangan ‘multiracial’ nya selepas ini. Mereka terpaksa menebalkan muka untuk kembali memberikan retorik perjuangan ‘multiracial’ mereka selepas ini.

Pendeknya tiada mana-mana pihak berjaya untuk perjuangan untuk berbilang kaum ini dan ia tidak mungkin boleh dilakukan oleh pihak yang jelas membohongi rakyat ramai ini. Akhir-akhir ini saya berjumpa dengan rakan-rakan yang saya kenali dan juga dari mereka yang menghubungi saya secara peribadi. Mereka berkumpul secara santai seramai dua puluh atau tiga puluh orang dalam satu-satu perjumpaan untuk mengetahui apa yang saya maksudkan sejak akhir-akhir ini. Mereka terdiri dari orang-orang kelas menengah dari berbilang kaum dan mereka serius dan tekun dalam perbincangan secara santai-santai itu.

Saya mulai sedar yang setiap kaum mempunyai niat yang serius untuk melihat perpaduan diantara kaum terjalin dan tidak lagi mahu melihat rakyat dipecahkan oleh kumpulan atau parti yang mahu rakyat berpolitik mengikut ‘flavor’ perkauman kerana selagi keadaan itu wujud negara kita tidak akan kekal aman seperti yang kita semua kehendaki.

Itu jugalah sebabnya blog ini tidak jemu-jemu berpandangan yang kita terpaksa bermula seperti kita berada dalam sebuah negara yang baru. Proses menyatu padukan rakyat yang berbilang kaum ini belum lagi kemana-mana.

Kita terpaksa memulakan negara baru dan segala-galanya baru bagi merubah sistem dan ‘ambience’ politik yang menebal permainan isu perkauman mereka. Rakyat yang inginkan sebuah negara yang rakyat berbilang kaum berpadu perlu menolak dan tidak membiarkan sesiapa atau mana-mana pihak yang rasuah serta menunjukkan sikap dan disposisi sebagai parti perkauman.

Usaha ini wajar dilakukan oleh rakyat semua kaum kerana generasi yang akan datang akan mewarisi sikap dan tabiat kurang baik yang kita tinggalkan nanti. Kalau dilihat dari apa yang sedang berlaku kini tidak ada pihak yang benar-benar jujur dan telus untuk perjuangan ini.

Biar kita bermula dari sekarang. Jika tidak sempat kita menyaksikan kejayaannya biarlah ia dikecapi oleh generasi yang akan datang.

Monday, July 22, 2013

Tanya Pada Pokok - P. Ramlee




TANYA PADA POKOK
Penyanyi: P. Ramlee
Filem: Anakku Sazali

Tanya pada pokok apa sebab goyang,
Nanti jawab pokok angin yang goncang,
Tanya sama langit apa sebab hujan,
Nanti jawab langit tanyalah awan.

Awan nanti kata aku kandung air,
Sampai tempat sejuk aku pun cair,
Tengok dalam air nampak bayang-bayang,
Campak satu batu bayang pun hilang.

Tanya sama hati apa rasa sayang,
Adakah tandanya nampak dipandang,
Kumbang rayu bunga bulan dan bintangnya,
Punya tanda-tanda hubungan mesra.

Tanya sama hati pernahkah merindu,
Tiba masa lena apa mimpimu,
Masa berjauhan apa nan dikenang,
Bila difahamkan itulah sayang.

Jikalau tidak kerana sayang,
Kuntuman kasih tak mungkin kembang,
Andainya jemu mengganti rindu,
Jambangan mesra tentulah layu.

Tanya sama hati pernahkah merindu,
Tiba masa lena apa mimpimu,
Masa berjauhan apa nan dikenang,
Bila difahamkan itulah sayang.


P/S : jika diperhatikan betul betul liriknya.. ia membawa maksud yang amat mendalam. :)

Sunday, July 21, 2013

Perbezaan diantara Fatwa dan Ijtihad

Adalah ketetapan hukum terhadap sesuatu masalah yang memerlukan kepada sesuatu keputusan yang boleh diikuti dan dipatuhi. Hal ini terjadi bilamana keperluan atau pertanyaan tentang hukumnya tidak terdapat di dalam al-Qur’an, al-Hadits atau Ijma’ Ulama’. Jika sesuatu fatwa dikeluarkan, kemudian terjumpa dalil yang qat’ie dalam al-Qur’an atau al-Hadits atau Ijma’ Ulama’, jika bertentangan maka batallah fatwa tersebut. Fatwa yang diberikan hendaklah dari orang-orang tertentu yang layak dari segi ilmunya, kewarakkannya, tawaddhu’nya dan iltizamnya dengan mana-mana hukum.

Jika kita perhatikan seketika, kalimah fatwa ialah satu perkataan Arab yang berasal dari "fata-yaftu-fatwan". Fatwa yang memberi pengertian "ifta'" itu maksudnya, iaitu perbuatan yang dikeluarkan seorang alim mengenai hukum bersangkut paut dengan hal syariah. Dalam lisan al-'Arab

Menurut Ibn Manzur, fatwa adalah perkataan yang bermaksud suatu perbuatan yang dilakukan oleh mufti mengenai sesuatu hukum atau suatu keputusan tentang hukum yang dikeluarkan oleh faqih (Ibn Manzur 1956, 15: 147-148).

Menurut al-Qasimi, fatwa bermaksud menjawab masalah yang menjadi kemusykilan di dalam hukum. Apabila seseorang menjawab sesuatu masalah yang diajukan kepadanya, jawapan yang diberikan itu merupakan fatwa. (al-Qasimi 1986: 46-48).

Fatwa menurut Muhammad Rawwas, fatwa bererti penjelasan berhubung persoalan hukum syarak yang dibuat oleh seseorang yang faqih bagi menjawab pertanyaan yang dikemukakan kepadanya (Muhammad Rawwas 1985: 339).

Menurut Ensiklopedi Islam fatwa bererti petuah, nasihat, jawapan bagi pertanyaan tentang sesuatu hukum.

Menurut pemahaman Ibrahim Najaib Muhammad Iwad, Fatwa dari segi bahasa arab iaitu fata - yaftu - fatwa atau futya ( فتى يفتو فتوى أو فتيى ). Ia membawa maksud menjawab perkara-perkara yang menjadi kemusykilan seperti seseorang berkata "meminta fatwa daripadanya maka ia pun memberi fatwa" (Ibrahim Najaib Muhammad Iwad, Al-Qada fi Al-Islam, Kahirah:Majma’ Al-Bunuth Al-Islamiyyah :1975 hal :10).

Dalam Ensiklopedi Hukum Islam, al-fatwa secara bahasa bererti petua, penasihat, jawapan atas pertanyaan yang berkaitan dengan hokum.

Apapun pengertian yang telah diberikan, menurut undang-undang yang ada di Malaysia sekarang, pengeluaran fatwa perlu mengikuti prosedur tertentu. Suatu fatwa yang hendak dikuatkuasakan hendaklah diwartakan. Jika tidak di Warta maka ia dianggap kekal sebagai pendapat mufti sahaja dan untuk pengetahuan atau rujukan hukum semata-mata.

Fatwa dalam Istilah Fiqh

Sedangkan dalam istilah Ilmu Usul Fiqh, Fatwa bererti pendapat yang dikemukakan oleh seorang mujtahid (ahli ijtihad) atau faqih sebagai jawapan atas pertanyaan yang diajukan oleh peminta fatwa dalam suatu kes yang sifatnya tidak mengikat. Pihak yang meminta fatwa tesebut boleh jadi bersifat peribadi, lembaga, mahupun kelompok masyarakat.

Pihak yang memberi fatwa dalam istilah Usul Fiqh disebut Mufti dan pihak yang meminta fatwa disebut al-Mustafti.

Siapa yang layak Memberi Fatwa

Kalau dalam konteks negara Malaysia dan Indonesia, orang yang layak kebiasaannya adalah seorang Mufti. Sebahagian ulama ahli fiqh pula mensyaratkan seorang mufti itu harus ahli ijtihad (mujtahid). Mujtahid adalah orang-orang yang layak berijtihad atau ahli ijtihad, ianya seorang muslim, adil, mukallaf, ahli fiqh dan memiliki pemikiran yang jernih. Namun as-Syaukaani tidak pula mensyaratkan seorang mufti itu harus mujtahid, yang penting dia ahli di dalam agama Islam.

Seorang mustafti boleh mengajukan pertanyaan kepada seorang mufti mengenai hukum suatu permasalahan yang dihadapinya. Apabila mufti menjawabnya dengan perkataan, hukum masalah ini halal atau haram, tanpa disertai dalil-dalilnya secara terperinci, maka itulah dinamakan fatwa. Fatwa dapat berbentuk perkataan ataupun tulisan.

Sebelum memberikan jawapan atau fatwa, seorang mufti pada dasarnya telah melalui proses pemahaman dan pencerapan yang merangkumi empat keadaan, iaitu :

1. Apakah hukum keatas masalah yang dimaksud.
2. Apakah dalilnya dan syibihnya.
3. Apa wajah dalalah-nya.
4. Apakah ada jawapan/fatwa yang bertentangan tentang persoalan yang dimaksudkan.

Maka berdasarkan hal itulah sebahagian ulama ahli fiqh mensyaratkan seorang mufti itu harus ahli ijtihad (mujtahid).
 
Mufti dan Fatwa

Di Malaysia dan Indonesia kebiasaannya, fatwa hanya diterima daripada seseorang yang memegang jawatan Mufti (erti mufti - pemberi fatwa). Oleh itu seseorang mufti, sebelum mengeluarkan sesuatu fatwa harus memperhatikan beberapa keadaan, seperti : mengetahui secara yakin kes yang diminta fatwanya, mempelajari psikologi mustafti dan masyarakat sekelilingnya agar dapat diketahui implikasi dari fatwa yang dikeluarkannya sehingga tidak membuat agama Allah menjadi bahan fitnah, penganiayaan mana-mana pihak, bahan tertawa dan permainan.

Fatwa yang diberikan juga wajib diluar dari hal-hal kepentingan diri, atau memihak kepada pihak-pihak tertentu, jauh dari sifat dendam, hasad dan dengki serta sifat benci. Fatwa yang dikeluarkan dalam keadaan benar-benar sedar dan faham, tiada tekanan dari sesiapa dan hanya semata-mata ikhlas kerana Allah demi menegakkan Agama Islam.

Seorang mufti tidak boleh berfatwa dengan fatwa yang bertentangan dengan nas syar’e, meskipun fatwanya itu sesuai dengan mazhabnya. Ia juga tidak boleh berfatwa dari perkataan dan pandangan yang belum mengalami proses tarjih atau analisis perbandingan dan pengambilan dalil terkuat.

Demikianlah kedudukan fatwa dalam Undang-undang Islam. Perlu difahami, setiap fatwa yang bertentangan dengan nas-nas Al-Qur’an dan as-Sunnah yang qat’ie adalah fatwa yang batil, tidak sah dan termasuk dalam kategori berbohong atas nama Allah terhadap umat manusia.

Apakah Ijtihad Itu Fatwa

Terkadang terjadi kekalutan dalam membezakan antara fatwa dengan ijtihad. Ijtihad menurut Al-Amidi dan An-Nabhani adalah mencurahkan seluruh kemampuan untuk menggali hukum-hukum syariat dari dalil-dalil dzanni hingga batas tidak ada lagi kemampuan melakukan usaha lebih dari apa yang telah dicurahkan. Manakala fatwa hanya dilakukan ketika ada kejadian secara nyata, lalu ulama ahli fiqh berusaha mengetahui hukumnya. Dengan demikian, fatwa lebih spesifik dibandingkan dengan ijtihad.

Bidang Kuasa fatwa Malaysia

Sebelum pindaan kepada Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam di negeri-negeri yang kebanyakannya dibuat sekitar akhir 80-an dan awal 90-an, Fatwa adalah di bawah bidangkuasa Majlis Agama Islam negeri-negeri dan dikeluarkan oleh Majlis. Majlis mempunyai kuasa untuk membuat dan menyiarkan fatwa sama ada dengan kuasanya sendiri ataupun melalui Jawatankuasa Fatwa yang dilantik oleh Majlis. Sebagai contoh, seksyen 38 (1)-(3), Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 memperuntukkan:

38. (1) Sesiapa pun boleh, dengan bersurat kepada Yang Di Pertua, meminta Majlis mengeluarkan fatwa di atas apa-apa perkara berkenaan Ugama Islam atau nas.

(2) Yang Di Pertua hendaklah merujukkan permintaan itu kepada Pengerusi Jawatankuasa Syariah dan Pengerusi hendaklah menimbangkan tiap-tiap permintaan seperti itu dan hendaklah menyediakan rangka fatwa itu melainkan pada fikirannya perkara yang dirujukkan itu adalah perkara kecil atau oleh lain-lain sebab yang munasabah, tidak perlu dijawab. Ia hendaklah mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Syariah untuk menimbangkan dan memberi keputusan ke atas rangka fatwa yang dibuatnya itu. Jika sesuatu keputusan itu disokong oleh nas, maka Mufti hendaklah dengan serta merta mengeluarkan fatwanya. Jika dalam perkara itu, Jawatankuasa Syariah tidak sebulat suara, soal itu hendaklah dirujukkan kepada Majlis dan Majlis hendaklah dengan cara yang sama, membuat dan mengedarkan keputusannya yang mana dibuat mengikut pendapat lebih suara ahli-ahlinya yang hadir; Dengan syarat atas sebab-sebab yang khas apa-apa soal seperti itu bolehlah disembahkan oleh Majlis kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan untuk mendapatkan penentuan Baginda.

(3) Majlis boleh pada bila-bila masa dengan kehendaknya sendiri mengisytiharkan apa-apa fatwa atau keputusan yang telah dibuat oleh Jawatankuasa Syariah. Menurut peruntukan itu, sesiapa yang mempunyai masalah berhubung Agama Islam atau nas boleh menulis surat kepada Yang Dipertua Majlis Agama Islam untuk meminta fatwa. Apabila persoalan secara bertulis diterima, Yang Dipertua akan merujukkan permintaan fatwa tersebut kepada Pengerusi Jawatankuasa Syariah negeri. Setiap permintaan fatwa perlu dipertimbangkan dan perlu disediakan rangka jawapannya melainkan beliau berpendapat bahawa masalah itu adalah perkara kecil atau ada alasan-alasan lain yang munasabah
membolehkan persoalan itu tidak dijawab.

Langkah seterusnya, Pengerusi Jawatankuasa Syariah hendaklah mengadakan mesyuarat Jawatankuasa bagi menimbangkan serta membuat keputusan terhadap rangka fatwa yang telah disediakan. Sekiranya Jawatankuasa Syariah tidak mencapai keputusan sebulat suara, perkara itu hendaklah dirujuk kepada Majlis Agama dan Majlis Agama akan membuat keputusannnya mengikut pendapat lebih suara ahli-ahli yang hadir.

Majlis Agama Islam pada bila-bila masa dan atas kehendaknya sendiri mempunyai bidangkuasa mengisytiharkan apa-apa fatwa atau keputusan yang telah dibuat oleh Jawatankuasa Syariah.

Walau bagaimanapun, dengan pindaan serta pengenalan Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam (EPUI) yang baru, bermula di Selangor pada tahun 1989, undang-undang memperuntukkan pemisahan pentadbiran Majlis, Mufti dan Mahkamah Syariah. Mulai saat itu jugalah, urusan berkenaan fatwa diletakkan secara khusus di bawah Jabatan Mufti dan bukan lagi di bawah bidangkuasa Majlis (Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam (EPPI) Selangor 1989, seksyen 28,30). Di Wilayah Persekutuan pula umpamanya, seksyen 34 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (APUUI) 1993 memperuntukkan:

34. (1) Mufti hendaklah, atas perintah Yang di Pertuan Agong, dan bolehlah atas kehendaknya sendiri atau atas permintaan mana-mana orang yang dibuat melalui surat yang ditujukan kepada Mufti, membuat dan menyiarkan dalam Warta suatu fatwa atau pendapat atas apa-apa persoalan yang belum diselesaikan atau yang menimbulkan pertikaian mengenai atau berhubungan dengan Hukum Syarak.

(2) Tiada pernyataan yang dibuat oleh Mufti boleh diambil sebagai fatwa melainkan jika dan sehingga pernyataan itu disiarkan dalam Warta menurut subseksyen (1). Peruntukan di atas jelas menunjukkan bahawa dari sudut tatacaranya, persoalan mengenai Hukum Syarak atau fatwa hendaklah diajukan terus kepada mufti bukannya melalui Majlis Agama terlebih dahulu, sebagaimana sebelum pindaan dibuat.

Fatwa boleh dikeluarkan sama ada atas daya usaha mufti sendiri atau atas perintah Yang di Pertuan Agong ataupun atas permintaan dari mana-mana orang. Namun demikian, terdapat sedikit perbezaan dalam peruntukan di negeri-negeri.

Di Terengganu misalnya, fatwa boleh dikeluarkan apabila ada permintaan melalui surat kepada Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama (Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam (EPHEAI) Terengganu 1986, seksyen 25).

Di Sabah, fatwa boleh dikeluarkan atas perintah Yang diPertua Negeri atau atas permintaan mana-mana orang yang dibuat melalui surat yang dituju kepada mufti (Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam (EPUUI) Sabah 1992, seksyen 35).

Manakala di Perak, mufti boleh atas daya usahanya sendiri atau atas permintaan bertulis mana-mana orang, membuat fatwa atau memberi pendapat atas sesuatu soalan yang menimbulkan pertikaian mengenai atau yang berkaitan Hukum Syarak (Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perak (EPAI) 1992, seksyen 34).

Pahang dan Selangor mempunyai peruntukan yang menyerupai peruntukan di Wilayah Persekutuan (Enakmen Pentadbiran Undangundang Islam (EPUUI) Pahang 1991, seksyen 36; EPPI Selangor, seksyen 31).

Dalam pengeluaran sesuatu fatwa, mufti sebenarnya tidak bertindak berseorangan. Mufti akan menjalankan tugasnya bersama dengan Jawatankuasa Fatwa. Nama jawatankuasa ini berbeza-beza di negeri-negeri.

Di Selangor, Pahang dan Wilayah Persekutuan ia dipanggil Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak (EPPI Selangor, seksyen 34; EPUI Pahang, seksyen 39; APUUI W.Persekutuan, seksyen 31).

Bagi negeri Perak, Melaka, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang dipanggil Jawatankuasa Syariah (EPAI Perak, seksyen 37; EPHS Melaka, seksyen 33; EPHS N. Sembilan, seksyen 33; EPHAI P.Pinang, seksyen 39).

Di negeri Johor, Kedah dan Terengganu ia dipanggil Jawatankuasa Fatwa (EPAI Johor, seksyen 15; EPUI Kedah, seksyen 36; EPHEAI Terengganu, seksyen 53).

Di Sabah pula dikenali sebagai Majlis Fatwa dan di Kelantan sebagai Jemaah Ulama’ (EPUUI Sabah, seksyen 38; EMAI&AIM Kelantan, seksyen 33). Sementara di negeri Sarawak dikenali dengan nama Lembaga Fatwa (OMI Sarawak, Chapter 105, seksyen 36).

Apabila mufti bercadang hendak membuat fatwa, dia hendaklah memanggil suatu mesyuarat Jawatankuasa bagi maksud membincangkan perkara yang hendak diberi fatwa itu. Selain itu, sebelum mufti membuat fatwa, ia boleh mengarahkan suatu kajian atau penyelidikan dibuat dan kertas kerja disediakan (EPPI Selangor, seksyen 34(4) dan (5).

Saturday, July 13, 2013

Ramadhan, Ibadah Puasa dan disebalik kelebihannya

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya. 

1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi- 

2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. - Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-

3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. - Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi.

4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).-Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi.

5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. -Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi.

PENERANGAN HADIS 

1. Semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala amalan sunnah. 

2. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan, manakala pintu neraka pula ditutup. Ini menggambarkan bagaimana Allah begitu mengasihani hambaNya yang taat beribadat dan menurut segala perintahNya. 

3. Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kawan syaitan yang berada pada diri kita iaitu nafsu akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai.

4. Pentingnya keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadat. 

5. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa yang lepas jika kita benar-benar bertaubat. 

6. Kita mesti menghidupkan sunnah yang mana yang paling besar ialah berada dalam jemaah Islam terutama di dalam mengembalikan semula khilafah Islamiah yang telah lama dihancurkan iaitu pada 1924. 

7. Jauhkan daripada syirik pada Allah sama ada berbentuk perbuatan, niat ataupun percakapan. Kita mesti mematuhi segala perjanjian yang dibuat selagi tidak melanggar hukum syarak. 

8. Kita mesti berpuasa pada semua anggota bukannya pada makan dan minum sahaja. 

9. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi.

10. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak. 

11. Di dalam menunaikan ibadat puasa kita mesti banyak bersabar dan jangan suka berbual kosong apatah meninggikan suara apabila bercakap.

 Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan disusuli dengan puasa bulan Syawal, ganjarannya seolah-olah berpuasa setahun.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)