Friday, May 9, 2014

Konsep Dakwah Dalam Islam

Pendahuluan

Dakwah merupakan istilah yang khusus dalam islam. Ia merupakan satu kewajipan yang dipertanggungjawabkan ke atas setiap muslim yang mempunyai kemampuan, dalam sebarang bentuk dan dalam setiap kesempatan. Dakwah merupakan tugas para Rasul dan perintah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW yang merupakan juru dakwah pertama semenjak agama Islam diturunkan. Banyak perintah Allah yang ditujukan kepada Rasullullah supaya melaksanakan tugas tersebut secara kesinabungan, seperti Firman Allah yang bermaksud:“Dan serulah ia kepada tuhan engkau, sesungguhnya engkau di atas petunjuk yang luirus” (Al-Haj; 67)

Walaupun banyak ayat-ayat dalam Al-Quran menyuruh Nabi Muhammad SAW supaya berdakwah, tetapi ayat tersebut juga ditujukan untuk seluruh manusia muslim dan hanya dikecualikan bagi mereka yang dikecualikan oleh syara’.

Dakwah merupakan perlaksanaan terhadap perintah Allah, iaitu menyeru manusia ke arah ajaran Islam yang meliputi persolan teologi, syariah, akhlak, dan institusi. Dakwah merupakan satu usaha untuk mengajar kebenaran kepada mereka yang lalai, membawa berita baik tentang nikmat dunia dan nikmat syurga, memberi amaran tentang balasan neraka di akhirat dan kesengsaraannya. Melaksakan tugas dakwah merupakan puncak kebaikan dan kebahagiaan sepertimana Firman Allah yang bermaksud:“Siapakah yang lebih baik pertuturannya daripada mereka yang menggunakannya untuk menyeru manusia ke jalan Allah” (Fusilat 41; 33)


Definisi dakwah

Dari Sudut Bahasa
Dakwah kepada Islam merupakan satu teknik untuk menarik manusia kepada ajarannya sama ada secara teoritikal atau praktikal. Perkataan “DAKWAH” berasal daripada perkataan arab yang bererti mengajak, menyeru, menjemput, memanggil kepada sesuatu perkara sepertimana yang terdapat dalam Firman Allah:Ertinya: dan Allah menyeru kepada negara kesejahteraan….

Manakala orang yang menyampaikan dakwah disebut sebagai “PENDAKWAH” atau “PENDUKUNG DAKWAH”.

Dari erti perkataan dakwah dari segi bahasa tersebut memperlihatkan bahawa dakwah merupakan satu perkara yang memerlukan satu usaha atau kesungguhan sama ada secara amali atau teori bagi mencapai objektif yang digariskan, justeru itu di dalamnya terdapat tuntutan jihad dan amal.

Dari Segi Syar'q

Banyak definisi dakwah dari sudut ini telah diberikan oleh para Uamak Islam, antaranya:Ibn. Taimiyah: Dakwah kepada Allah ialah menyeru manusia agar beriman dengan Allah serta beriman dengan apa yang telah dibawa oleh para Rasul-Nya dengan membenarkan apa yang telah diberitakan oleh mereka dan taat kepada perintah mereka.

Abul Ala’Al-Mawdudi: Dakwah adalah panggilan Ilahi dan Rasul mengajak manusia memiliki nilai-nilai suci dan agong. Dakwah adalah menghidupkan manusia, iaitu menghidupkan pancaindera, daya pemerhatian, daya rasa, daya ciptanya, menghidupkan dhamir, hati nurani dan bashirah. Menghidupkan manusia yang seimbang dari segi ilmu, iman dan amal. Ibadah, ikhtiar dan doa.


Definisi dakwah dapat disimpulkan:

 
Dakwah ialah menyeru manusia supaya taat dan beriman kepada Allah dan Rasul. Dakwah ialah mengajak manusia mengamalkan nilai-nilai yang dibawa oleh Islam bagi menghidup dan menyeimbangkan manusia. Dakwah adalah usaha mengingati fitrah manusia dan seruan kepada pembebasan manusia dari ilah-ilah palsu dan kuasa tirani. Dakwah ialah usaha-usaha pembaikan dan pembangunan masyarakat yang berkesinabungan.
Kewajipan Berdakwah

Dakwah merupakan kewajipan yang dipertanggungjawabkan untuk umat islam seluruhnya tanpa kecuali mengikut kemampuan dan keupayaan masing-masing seperti Firman Allah yang bermaksud: “Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manusia, supaya kamu menyuruh kepada kebaikan dan melarang dari kejahatan”

Ayat di atas menerangkan dua perkara, iaitu tentang kebaikan umat Islam(Khaira Ummatin) dan kebaikan umat Islam itu terletak kepada tugasnya menyuruh dan mengajak manusia berbuat kebaikan dan mencegah dari kemungkaran. Menurut Imam Al-Qurtubi, Allah telah menjadikan amar makruf nahi mungkar sebagai garis pemisah di antara orang beriman dengan orang munafik. Ia merupakan ciri orang beriman yang paling istimewa yang membezakannya dengan golongan munafik. Apabila umat Islam melalaikan tanggungjawab berdakwah maka Allah akan mengharamkan kedudukannya sebagai Khaira Ummatin(sebaik-baik umat), kerana Allah memberikan status umat mulia ke atas umat Islam kerana perlaksanan terhadap tanggungjawab dakwah.

Tanggungjawab berdakwah diletakkan ke atas setiap muslim sama ada lelaki atau perempuan, baligh, berakal, sama ada ulamak atau tidak, tetapi peranan ulamak lebih ditekankan dalam memperincikan ajaran agama kerana pengetahuan mereka yang luas. Ia boleh dilakukan sama ada secara perseorangan sepertimana Hadis Nabi yang bermaksud:“Maka hendaklah yang telah menyaksikan antara kaum memyampaikan ilmu kepada orang yang tidak hadir” (Hadis Riwayat Bukhari; Kitab Sahih Bukhairy)

Dan juga boleh dilakukan berorganisasi terutama apabila terdapat aspek-aspek kerja dakwah yang tidak dapat dilakukan secara individu sepertimana Firman Allah yang bermaksud:“Hendaklah ada diantara kamu umat yang menyeru kepada kebaikan dan menyuruh membuat kebaikan dan mencegah dari kemungkaran, mereka itulah orang-orang yang mendapat kemenangan”. (Ali Imran; 104)

Bagaimanapun, terdapat pendapat yang menyatakan wajib ke atas setiap umat Islam berdakwah, tetapi ia menjadi fardu kifayah iaitu tanggungjwab yang tertanggung kepada orang orang yang tertentu yang mempunyai syarat-syarat keahlian dalam sesuatu bidang yang tertentu yang memerlukan syarat-syarat tersebut yang tidak ada pihak lain menyempurnakannya.

Bagaimanapun, hukum fardu kifayah ini tidak bermaksud umat Islam yang lain harus berpeluk tubuh sekiranya kemungkaran terus berlaku dalam masyarakat. Fardu kifayah bemaksud, sekiranya masyarakat tersebut sudah meninggalkan kemungkaran dan membuta kebaikan, tetapi jika sekiranya masyarakat masih lagi melakukan kemungkaran, maka setiap muslim wajib memikul tanggungjawab tersebut atau memberi sokongan kepada pendakwah. Setiap orang wajib menambah kekuatan dan memberi Sokonngan kepada para pendakwah, meramaikan bilangan mereka sehingga mereka menjadi kuat, hebat, dan mempunyai pengaruh yang cukup untuk mencegah kemaksiatan.


Methodologi Dakwah

Pada dasarnya dakwah mestilah dilakukan tanpa kekerasan kerana Islam tidak membolehkan kekerasan atau paksaan dalam agama seperti Firman Allah:“Tiada paksaan dalam beragama(masuk Islam). Sesungguhnya sudah nyata petunjuk dari kesesatan”(Al-Baqarah; 256)

Menurut al-Mawdudi, paksaan akan melahirkan nifaq dan munafiq kerana dakwah adalah mengajak dengan kesedaran. Namun demikian, terkadang diperlukan kekerasan untuk menjaga kemuliaaan agama atau untuk memelihara masyarakat, negara dan sebagainya. Sebagaimana yang ditegaskan oleh Rasulullah:“Barang siapa di antara kamu yang melihat kemungkaran hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya. Jika ia tidak sangggup dengan lidahnya. Jika ia tidak sanggup, maka dengan hatinya dan ini adalah iman yang paling lemah. ” (Hadis Sahih Muslim)

Dakwah yang hendak dilakukan hendaklah mengikut metodologi yang diikuti oleh para Nabi dan Rasul, disamping menyesuaikannya dengan perubahan zaman dan persekitaran, mengikut apa yang terbaik untuk zaman dan masyarakat tersebut. Dakwah boleh disampaikan secara lisan, tulisan atau memanfaatkan dari perkembangan teknologi maklumat yang wujud pada masa kini. Secara dasarnya, al-Quran telah memperjelaskan tiga cara dakwah yang efektif, seperti Firman Allah yang bermaksud: “Serulah kepada jalan tuhan kamu dengan cara hikmah, nasihat yang baik dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. ” (Al-Nahl; 125).
 
Ahli tafsir telah menghuraikan maksud tiga cara tersebut:

Hikmah
Iaitu keterangan yang jitu dan tepat yang dapat meyakinkan dan menghilangkan keraguan, dengan memasukkan roh tauhid dengan akidah iman, dalil-dalil dan keterangan-keterangan yang jelas sehingga meyakinkan akal. Termasuk dalam hikmah ialah dengan menggunakan susunan kata-kata yang biasa dan senang diterima akal dan bukannya menggunakan kata-kata yang tidak difahami atau sukar difahami oleh penerima dakwah sepertimana yang dilakukan oleh Rasullullah SAW.

Nasihat Yang Baik(Mauizah Hasanah)
Iaitu huraian–huraian yang memberi petunjuk dan nasihat yang dapat menyedarkan dan membuka pintu hati untuk mentaati semua pertunjuk Islam. Huraian-huraian ini dilakukan dengan jelas dan tanpa menyakitkan hati orang lain. Metode ini ditujukan kepada orang-orang yang menerima dan sudah komited dengan prinsip dan fikrah Islam. Mereka tidak memerlukan kecuali nasihat untuk mengingatkan, memperlembutkan hati, dan menjernihkan segala kekeruhan yang wujud.


Berdialog Dengan Cara Yang Baik
Iaitu memberi hujah atau bukti-bukti yang dapat menolak sanggahan dan pendapat lawan. Menurut Amin Ahsan Ishlahi, metode mujadalah hasanah adalah metode yang diizinkan oleh al-Quran, iaitu dengan pendakwah memberi penjelasan kepada pihak lawan dengan menggunakan prinsip-prinsip dan kesimpulan logik agar dapat agar mereka dapat merenungkannya, menerima kebenaran atau tidak menentang seruan dakwah lagi.

Cara Berdakwah
Telah di jelaskan di dalam pendahuluan bahawa tugas dakwah bererti melaksanakan tugas yang besar di bumi ini menegakkan agama Allah di bumi iaitu dengan menegakkan negara Islam di seluruh dunia yang berteraskan khilafah Islamiyyah,. Kita perlu berusaha mendapatkan sebuah negara baru Islam untuk penyebaran agama Allah di muka bumi ini.

“Sehingga tidak ada fitnah dan jadilah agama semuanya untuk Allah” (Surah Al-Baqarah; 193)

Telah dijelaskan juga bahawa binaan yang besar ini memerlukan contoh teladan yang baik dalam setiap peringkat pembangunan dari setiap individu, keluarga, masyarakat muslim, kerajaan islam, negara islam dan khilafah Islmamiyyah. Di sini terdapat perbezaan di antara menegakkan kerajaan Islam yang lemah di dalam kelompok negara Islam yang asas lemah, yang tidak ada satu jalinan yang kukuh di antara kerajaan–kerajaan dengan menegakkan negara Islam di seluruh dunia yang kuat dan bersepadu berdasarkan asas yang kukuh dan jitu. Satu perkara yang perlu diperhatikan ialah bahawa kita tidak boleh menbangunkan manusia dengan cara yang mudah yang tersedia untuk dimajukan tetapi kita perlu bersihkan segala ranjau dan halangan untuk pembangunan manusia.

“Allah tidak akan mengubah apa pada kaum itu sehingga mereka itu sendiri mengubah apa yang ada pada diri mereka” (Surah al-Ra’d; 11)

Ada Cita-Cita Yang Tidak Putus Asa
Di dalam dakwah kita tidak harus ada perasaan putus asa disebabkan kerana banyaknya ranjau dan halangan yang ada dalam masyarakat kita. Sebaliknya perlu ada cita-cita agar kita dapat mengatasi ranjau dan halangan yang ada itu dengan pertolongan Allah. Kita juga perlu mempunyai sifat-sifat bersih hati, takwa dan baik supaya kita dapat membina masyarakat yang sejahtera dan kukuh.

Kalau kita lihat masyarakat jahiliah pada masa Rasulullah kita dapati keadaan mereka amat dasyat sekali. Walaupun begitu keadaannnya, beliau boleh berubah hingga menjadi masyarakat yang baik, berkasih sayang, mementingkan sahabat dari dirinya dan bekerjasama untuk kebaikan. Semua ini didasarkan pada aqidah, tauhid kepada Allah dan pengabdian diri terhadap-Nya. Sebagai kesan dari ajaran Al-Quran dan Rasulullah yang menjadi contoh teladan di dalam berdakwah. Sekiranya kita mengikut cara yang digariskan oleh Rasulullah iaitu dengan berpegang pada Al-Quran dan Sunnah, maka dengan pertolongan Allah, masyarakat kita pasti akan berubah dan terhindar dari wabak yang melanda masyarakat kita hari ini Oleh itu, generasi yang terkemudian ini tidak akan berjaya kecuali dengan mengikut cara orang-orang terdahulu. Imam Al-Syahid Hassan Al-Banna telah menggambarkan keadaan orang-orang Islam masa kini dan cara mengatasinya.

“Sesungguhnya ummat ini telah ditimpa satu keadaan yang mengancam kedudukan dan menggoncang bangunannya pada zahirnya seolah-olah ia sedang dilanda ombak penyakik, hina dan lemah yang menjadi buruan orang-orang yang tamak dan perampas. Ianya tidak berdaya untuk mempertahankan diri dari pencerobohan kebudayaan. Cara mengatasinya ialah dengan tiga cara: Mengenal pasti punca penyakit, sabar dalam kesakitan untuk diubati oleh doktor yang mahir yang mengendalikannya sehingga Allah melaksanakan apa yang dikehendaki dan sembuh dengan sempurnanya serta mendapat kemenangan. ”

Setelah dibentangkan tentang keadaan setengah dari negara Islam yang sedang dilanda wabak penyakit dan kerosakan beliau menambah: “Apa yang diharapkan oleh ummat Islam yang sedang diserang dari segenap penjuru dari segala kekuatan yang ada pada mereka, yang terdiri dari penjajahan, kepartian, riba, syarikat-syarikat asing, pemikiran bebas, pendidikan dan perundangan yang kucar-kacir, putus asa, kikir, pengecut, penakut, mengagungkan musuh yang mempengaruhi mereka menyebabkan mereka menurut apa sahaja yang dibawa oleh musuh mereka terutama dalam perkara yang buruk. Satu dari penyakit-penyakit ini sudah cukup untuk membunuh ummat secara terang-terang, bagaimana nhalnya jika penyakit itu ada pada semua ummat. Kalaulah tidak ada benteng dan perisai yang kuat di dalam ummat ini nescaya hanya tinggal kesannya sahaja, tetapi Allah dan juga orang-orang yang beriman tidak menghendakinya. ”

Setelah hilangnya rasa putus asa dari hati orang-orang Islam ia berkata: “Apa yang ada disekitar kita ini memberi harapan baik walaupun orang lain menganggapnya buruk. Sesungguhnya ummat Timur ini telah dilanda zaman beku sehingga dipenuhi dengan kebekuan dan dilanda dengan diam sehingga terlena dengan diam. Tetapi sekarang ia bangkit dalam keadaan menggelegak dan menyeluruh di dalam setiap aspek kehidupan serta mempunyai semangat yang kuat. Kalaulah tidak kerana ikutan-ikutan dari satu segi dan strategi yang tidak teratur nescaya ia telah meninggalkan kesan yang menakjubkan. Ikutan-ikutan itu tidak akan berlanjutan sepanjang zaman tetapi masa itu akan berubah dengan kehendak Allah. Semuanya di dalam kekuasaan Allah sama ada bagi yang telah lalu atau yang akan datang. Oleh itu, kita tidak putus asa selama-lamanya. ”

Inilah yang telah diperkatakan oleh Imam Al-syahid Hassan Al-banna. Kita sekaranng berjalan mengikut uslub dawah dan kita tidak putus asa dan berusaha untuk mengubah keadaan yang ada dan mengubah penyakit yang menimpa masyarakat walau banyak mana pun penyakit tersebut dengan perpandukan contoh teladan iaitu Rasullah SAW dan para sahabatnya dengan cara hikmat, nasihat yang baik praktikal dan usaha yang berterusan dengan pertolongan Allah. Usaha-usaha kea rah menbersihkan akidah tauhid dari pencemaran dan khurafat yang telah banyak dilakukan dan terus di laksanakan. Tuntutkan media massa di bersihkan dari unsur-unsur yang merosakkan sering kedengaran semuanya ini menberikan harapan yang baik pada perubahan yang mengalakkan.


Kesimpulan

Dari perbincangan di atas dapat difahami bahawa dakwah merupakan satu kewajipan yang perlu dipikul oleh setiap muslim bagi menyeru manusia ke arah kebenaran dan hidayat. Dakwah yang hendak dilakukan hendaklah mengikut metologi yang ditunjukkan oleh para Nabi dan Rasul, panduan al-Quran dan Hadis Nabi atau dakwah yang hendak dijalankan mencapai matlamatnya. Di samping itu, dakwah tidak hanya terhad kepada seruan secara lisan, tetapi juga harus menggunakan media yang luas dan terkini asalkan tidak bercanggah dengan ajaran islam. Golongan pendakwah yang menyeru manusia ke arah kebenaran haruslah terlebih dahulu mempraktikkan akhlak islam dan mempunyai sifat-sifat yang ditunjukkan. Pendakwah akan terus berhadapan dengan pelbagai tribulasi dalam usahanya untuk menyampaikan kebenaran kerana ia merupakan satu sunnah perjuangan.


Sunday, July 28, 2013

Bilakah politik perkauman akan berakhir?

Bilakah politik perkauman akan berakhir? Sebagai sebuah negara berbilang kaum selagi tidak ada perpaduan kaum yang sejati negara tidak akan kemana-mana.

Setiap orang terutamanya dibandar dan separa bandar, mempunyai jiran tetangga dari berbagai kaum. Hidup yang aman bermula didalam keluarga dan diantara jiran tetangga dalam kariah kita.

Kalau kita tidak setuju dengan jiran tetangga kita janganlah berbezaan pendapat dan pandangan itu berbeza di dasarkan kepada perbezaan warna kulit, bangsa dan agama. Perbezaan itu biarlah di dasarkan kepada isu yang tidak ada kena mengena dengan bangsa, agama dan warna kulit.

Ramai orang termasuk diri saya yang kerdil ini amat gembira apabila ada parti yang melahirkan hasrat untuk menjadi parti perjuangan yang berlandaskan kepada ‘multiracialism’, tanpa menggunakan isu kaum dalam semua halnya. Bagi orang seperti saya dan ramai yang lain amat terkeliur dengan perjuangan ini kerana sudah sangat lama kita menunggu masa dan saatnya bagi kita bersatu dan menjadi rakyat Malaysia dan bukannya sebagai bangsa Melayu, Cina dan India atau Kadazan dan Iban.

Oleh kerana sesitiviti dan suasana politik begitu menekan maka ramailah orang Melayu berpusu-pusu menerima perjuangan berbilang kaum ini kerana orang Melayu sendiri mahu melihat perpaduan diantara kaum itu wujud dan bersemi dikalangan rakyat negara kita. Semasa menghadapi pilihanraya baru-baru ini, setiap bangsa bersatu dalam gerakan menentang Barisan Nasional (BN) dan salah satu isu yang dimainkan terhadap BN itu ialah isu perkauman yang BN dituduh begitu menebal permainan politik perkaumannya.

Rupa-rupanya pihak yang memainkan isu perkauman terhadap BN itu juga adalah parti perkauman dan hanya mementingkan ahli-ahli dan pimpinan dari kaumnya sendiri sahaja. Apa yang dilaungkan mereka selama ini hanyalah permainan lidah yang tidak bertulang dan cara mereka bercakap tentang perkauman itu seolah-olah rakyat tidak akan dapat menghidu siapa sebenarnya mereka ini. Sesungguhnya mereka yang melaungkan slogan ‘multiracialism’ itu adalah kumpulan yang hakikatnya adalah parti perkauman yang sangat menebal.

Isu ini jelas dan tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak. Saya tidak mahu mencabar sesiapa tetapi saya dengan rendah hati bersetuju untuk berdepan dan berbincang isu ini secara terbuka. Tetapi saya lebih berminat kepada mereka yang mempunyai pendidikan yang asas dari berbilang kaum untuk membuktikan permainan isu perkauman ini adalah semata-mata modal untuk kempen pilihanraya yang lalu sahaja.

Tetapi segala-gala yang mereka sebutkan semuanya palsu semata-mata dan amat sukar bagi kumpulan yang saya maksudkan ini untuk tampil kemuka dan mengaku sebagai parti dengan perjuangan ‘multiracial’ nya selepas ini. Mereka terpaksa menebalkan muka untuk kembali memberikan retorik perjuangan ‘multiracial’ mereka selepas ini.

Pendeknya tiada mana-mana pihak berjaya untuk perjuangan untuk berbilang kaum ini dan ia tidak mungkin boleh dilakukan oleh pihak yang jelas membohongi rakyat ramai ini. Akhir-akhir ini saya berjumpa dengan rakan-rakan yang saya kenali dan juga dari mereka yang menghubungi saya secara peribadi. Mereka berkumpul secara santai seramai dua puluh atau tiga puluh orang dalam satu-satu perjumpaan untuk mengetahui apa yang saya maksudkan sejak akhir-akhir ini. Mereka terdiri dari orang-orang kelas menengah dari berbilang kaum dan mereka serius dan tekun dalam perbincangan secara santai-santai itu.

Saya mulai sedar yang setiap kaum mempunyai niat yang serius untuk melihat perpaduan diantara kaum terjalin dan tidak lagi mahu melihat rakyat dipecahkan oleh kumpulan atau parti yang mahu rakyat berpolitik mengikut ‘flavor’ perkauman kerana selagi keadaan itu wujud negara kita tidak akan kekal aman seperti yang kita semua kehendaki.

Itu jugalah sebabnya blog ini tidak jemu-jemu berpandangan yang kita terpaksa bermula seperti kita berada dalam sebuah negara yang baru. Proses menyatu padukan rakyat yang berbilang kaum ini belum lagi kemana-mana.

Kita terpaksa memulakan negara baru dan segala-galanya baru bagi merubah sistem dan ‘ambience’ politik yang menebal permainan isu perkauman mereka. Rakyat yang inginkan sebuah negara yang rakyat berbilang kaum berpadu perlu menolak dan tidak membiarkan sesiapa atau mana-mana pihak yang rasuah serta menunjukkan sikap dan disposisi sebagai parti perkauman.

Usaha ini wajar dilakukan oleh rakyat semua kaum kerana generasi yang akan datang akan mewarisi sikap dan tabiat kurang baik yang kita tinggalkan nanti. Kalau dilihat dari apa yang sedang berlaku kini tidak ada pihak yang benar-benar jujur dan telus untuk perjuangan ini.

Biar kita bermula dari sekarang. Jika tidak sempat kita menyaksikan kejayaannya biarlah ia dikecapi oleh generasi yang akan datang.